
Mendapatkan cinta perempuan itu tidak pernah sukar untuk saya. Sedari sekolah menengah saya sudah punyai bakat untuk mencintai dan paling utama dicintai. Untuk cinta, saya meminjam kata-kata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, "Cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab.". Pada ketika sebab itu wujud, wujudlah cinta, dan pada ketika sebab itu hilang, hilanglah cinta. Jadi, itulah falsafah saya dalam cinta, wujudkan sebab dan pada ketika sebab itu wujud, cinta perempuan itu akan kau dapat.
Bertambah mudah, untuk perempuan cinta itu wujud bersama wujudnya harapan, dan tugas saya adalah mewujudkan harapan.
Namun,
oleh kerana kelebihan itu juga datang dengan satu kekurangan, iaitu
saya tidak mampu setia dengan hanya satu cinta, maka banyak waktu juga,
sebab itu hilang, dan saya pun hilang cinta. Banyak waktu hati saya
tidak luka, adakalanya luka sedikit, tetapi sangat jarang ia parah.
Jadilah
saya lelaki yang sering dikutuk kerana mempermainkan perasaan, walaupun
hakikatnya saya cuma tidak mampu setia, dan untuk alasan itu saya tidak
pernah berasa bersalah.
Pada
hari itu juga sama, pada ketika cinta hilang bersama sebab, mujur hati
saya cuma luka sedikit, dan tidak saya sangka itulah hari terakhir saya
sebagai lelaki romeo.
Bas.
Sudah
surut waktu zohor, tetapi saya masih di dalam bas yang berpusing-pusing
di kawasan flet murah. Tetapi itu perkara biasa untuk saya. Solat itu,
saya tahu wajib tetapi saya tahu juga Allah itu maha pengampun.
Selebihnya, saya malas mahu fikir.
Saya
melihat ke luar dan tidak ada apa-apa yang dapat saya perhatikan selain
dinding flet yang kusam dan pokok-pokok yang tidak terjaga. Manusia
hanya ada beberapa orang. Mungkin kerana terik matahari membuatkan
mereka lebih suka berbaring di lantai rumah. Malah manusia di dalam bas
pun hanya ada lima orang termasuk saya.
Manakala
saya, masih tidak tahu ke mana harus dituju. Putus kasih memang sukar
dan tidak pasti apa ubatnya, dan antara cara yang sering saya buat,
adalah dengan menaiki bas, berjam-jam berlegar di laluan yang sama,
namun dengan penumpang-penumpang yang berbeza. Berfikir berkenaan kasih
yang tidak sampai dan mula memikirkan nasib hati yang luka.
Lalu
pada ketika itulah, pada satu hentian naik seorang perempuan bertudung
labuh dan duduk di hadapan sekali, di belakang pemandu bas. Saya hanya
memerhati kerana sekilas tadi terlihat wajahnya begitu cantik.
Dengan
hati yang luka, dengan kemahiran memikat gadis yang sentiasa siap dan
tinggi, dan dua modal yang saya ada iaitu berani dan mulut manis,
fikiran saya mula memikirkan sesuatu. Saya tersenyum sendiri lalu bangun
dan mula duduk di kerusi bersebelahan perempuan yang bertudung itu.
***
***
Hampir lima minit menyediakan diri, saya mula berkata, "Mahu ke mana?"
Perempuan
itu tidak menyahut, diam dan saya tahu itu adalah perkara biasa.
Pertanyaan pertama memang sering gagal. Apatah lagi dengan pertanyaan
yang terlalu kebudak-budakan seperti itu.
"Awak
ustazah, ya? Saya mahu tanya satu soalan?" soal saya lagi, selepas
meneliti beberapa soalan yang patut saya keluarkan dari kepala.
Perempuan
itu tetap diam dan wajahnya sedaya upayanya dipalingkan dari saya. Saya
tahu dia sedang terganggu, dan saya tahu itu perkara biasa.
"Mengapa
ada rakan saya yang pemabuk bernikah dengan perempuan yang baik-baik?
Sedangkan sudah riuh orang berkata, perempuan yang baik adalah untuk
lelaki yang baik? Adakah sebenarnya perempuan yang nampak baik itu
jahat, ataupun lelaki yang pemabuk itu yang sebenarnya baik?"
Saya
tahu, soalan saya itu adalah soalan yang sangat memancing hati.
Walaupun mungkin hari ini tidak dijawab, saya yakin soalan itu akan
dibawanya pulang ke rumah, lalu difikirkan sebelum tidur. Dan saya sudah
tahu, hari ini cumalah hari pengenalan. Sekiranya ada jodoh, esok dia
akan ada di sini lagi, dan soalan itu akan saya tanyakan lagi, dan dia
mungkin akan menjawab, dan sekiranya dia tidak menjawab esok, lusa,
tulat dan mungkin juga bulan depan barulah dia menjawab.
Pada
ketika dia menjawab, pada ketika dia membuka mulut, saya tahu, saya
sudah berjaya. Saya tersenyum sendiri dan terus larut dalam rancangan
yang tidak pernah gagal. Untuk hari ini, cukuplah dua soalan itu,
cukuplah.
Pada
ketika kemudian, perempuan bertudung labuh yang cantik itu menekan
punat berhenti, tahulah saya dia adalah seorang pelajar universiti. Bas
betul-betul berhenti di hadapan universiti yang satu itu.
Dan
pada ketika itulah, pada ketika dia mahu turun sesuatu yang saya tidak
jangka berlaku. Dia berpaling dan dengan wajah yang nampak tegas dia
berkata, "Saya akan jawab soalan itu, sekiranya saudara jawab soalan
saya ini."
"Apa?" Tidak saya menyangka, seawal ini dia membuka mulut, dan seawal itu rancangan saya berjaya.
"Allah
itu Maha Pengasih, dan Allah juga Maha Berat Seksa-Nya. Namun, kasih
sayang Allah sentiasa mendahului murka-Nya. Jadi, adakah saudara
sekarang fikir Allah sedang murka kepada saudara tetapi kerana sifat
kasih-Nya, Dia melambatkan seksa-Nya, ataupun saudara sebenarnya dalam
rahmat dan kasih sayang Allah, kerana saudara ini sebenarnya seorang
yang baik? Sekiranya saudara mengaku, saudara seorang yang baik, beri
nombor telefon saudara. Surau kami memang memerlukan seorang penceramah
agama seperti saudara. Namun sekiranya saudara tahu yang Allah sedang
murka kepada saudara tetapi saudara sekarang masih dalam belas
ihsan-Nya, anggaplah soalan saya ini sebagai belas ihsan-Nya yang
terakhir sebelum datang murka-Nya. Jadi, saudara yang mana satu?"
Itulah
hari terakhir saya melihat perempuan cantik bertudung labuh itu, dan
saya tahu, saya sudah diberi soalan yang akan saya fikirkan untuk setiap
jam, dan saya masih memikirkan soalan itu sampai sekarang. Soalan yang
saya cuba jawab dengan solat-solat yang selama ini saya cuaikan, sambil
mengenang kata-kata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, namun tetap sahaja saya
tidak berani menjawabnya.
Sumber : Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment